Tuesday 23 June 2015

Ramadhan 2015 - Menu Minggu Pertama

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Dalam sedar tak sedar dah masuk bulan Ramadhan kita rupanya. Alhamdulillah masih diberi kesempatan bertemu Ramadhan tahun ini.

Biasanya bila sebut Ramadhan, pasti orang akan teringat dengan Bazaar Ramadhan atau ada juga yang panggilnya Param, short form dari Pasar Ramadhan. Tapi tahun ini tahun yang mencabar dari segi ekonomi, jadinya untuk berjimat cermat saya hanya masak di rumah sahaja. Lagi pun jodoh saya dengan Param ni memang tak ngam. Selalu sangat makanan yang saya beli tu basi atau sakit perut dibuatnya. Makanan di rumah kan lebih bersih dan selamat.

Tapi, saya ni bukanlah pandai memasak. Setiap kali masak masih ada rasa tak yakin dan handphone mesti di tangan. Untuk apa? Biasalah, untuk cari resepi atau mesej emak di kampung, penasihat rasmi lagaknya. Hahahaha. So saya kongsikan menu-menu berbuka kami sekeluarga di sini. Manalah tau untuk buat rujukan masa akan datang.

Menu-menu saya ni yang jenis cepat atau senang masak. Sebabnya saya bekerja dan sampai di rumah pun dah pukul 5.30 petang. Anak-anak pula masih kecil dan yang bongsu masih menyusu badan. Bila balik rumah je si bongsu memang akan tahan saya dari buat apa-apa.

Mantai
Menu: Pulut kukus, nasi impit dan rendang ayam kampung

Puasa Hari 1
Menu: Kari ikan tongkol, pari bakar dan sambal buah kuinin

Puasa Hari 2
Menu berbuka: Laksa penang
Menu sahur: Sardin sambal kentang dan kangkung goreng belacan

Puasa Hari 3 - Berbuka di kampung
Menu: Gulai nenas dengan ikan masin, sambal buah kuinin, ikan kembung masak ungkep dan sayur taugeh goreng dengan tauhu

Puasa Hari 4 - Berbuka di kampung
Menu: Asam pedas ikan cencaru, ikan sepat masin berlada, sayur kubis cina goreng

Puasa Hari 5
Menu berbuka: Mee goreng basah dan kerabu telur
Menu sahur: Nasi goreng kampung

Puasa Hari 6
Menu: Lawar buah kuinin, ikan goreng, sambal tempoyak

Puasa Hari 7
Menu: Daging rebus, air asam tomato dan sayur khailan goreng belacan

Kalau tengok dari menu atas ni, asyik buah kuinin je jadi menu. Nak buat macamana, sekarang tengah musim. Melambak mak bagi stok. Jangan membazir, makan lah sampai muntah. Sekali setahun je, hehehe.


Thursday 18 June 2015

Kari Ikan Tongkol


Bahan-bahan

  • Ikan tongkol = 1 ekor dibersihkan
  • Bawang besar = 1 biji
  • Bawang putih = 2 ulas
  • Halia muda = 1/2 inci
  • Cili besar merah atau hijau = 1 atau 2 biji, dibelah 2
  • Pes cili kering (ikut kepedasan yang disukai, saya tak guna cili pun)
  • Santan segera = 1 kotak
  • Serbuk kari ikan = 1 peket kecil
  • 1 tangkai daun kari (jika ada)
  • 1 kulit kayu manis + 1 kuntum bunga lawang + 2 biji ketumbar
  • Garam
  • Gula
  • Asam keping
  • Minyak

Cara membuatnya
  1. Hiris halus bawang besar, bawang putih dan halia. 
  2. Tumis bahan hirisan tadi berserta daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang dan biji ketumbar sehingga wangi, kemudian masukkan serbuk kari dan pes cili. Tumis seketika.
  3. Masukkan sedikit air dan biar rempah menggelegak hingga pecah minyak.
  4. Masukkan santan segera yang dicampur dengan sekotak air. Jika terlalu pekat, masukkan sedikit air lagi.
  5. Masukkan ikan, separuh asam keping, cili besar, garam dan gula. Bila sudah menggelegak dan kuah sebati, tutup api dan hidang.

Inilah ikan tongkol. Adik-beradik ikan tuna. Murah tapi sangat berkhasiat.

Wednesday 17 June 2015

Pulut Kukus


Bahan-bahan untuk 5-6 orang
  • Beras pulut 1/2 kg
  • Santan pekat 1 biji
  • Gula
  • Garam
  • Daun pandan 1 helai

Cara membuatnya
  1. Rendam beras pulut selama 30 minit dan toskan.
  2. Panaskan pengukus dan masukkan beras pulut ke dalam pengukus beserta daun pandan, tutup pengukus.
  3. Dalam bekas lain, masukkan 1 sudu kecil garam dan sedikit gula. Kacau sebati.
  4. Apabila pengukus keluar banyak wap dan pulut berbau wangi, keluarkan pulut ke bekas yang lain dan masukkan santan sedikit demi sedikit dan gaul rata.
  5. Masukkan pulut ke dalam pengukus semula dan kukus sebentar selama 5 minit.
  6. Sedap dihidang panas-panas.

 Saya guna pengukus yang macam ni sahaja. Beli di kedai dalam RM35.